GIVEAWAY MEMORIA AIDILFITRI

KLIK BANNER UTK JOIN
TAMAT: 11/07/2014

1 Syawal 1998, ledakan mercun memecah kesepian di pagi Raya. Aku mengintai di sebalik tingkap, memerhati rakan-rakanku yang lain bermain bunga api sekitar jalan raya. Gelak tawa mereka langsung tidak mencuit hatiku untuk turut serta. Hatiku kosong.. Siti, rakan sekelasku juga merangkap anak jiran sebelah, menggayakan baju baru. Hatiku dipagut sebak. Bukan kerana tidak dapat memiliki baju Raya baru, tetapi kerana insan yang memimpin tangannya. Rindunya aku pada ibu.. Air mata mula bergenang, mengalir deras tanpa henti. Terhenjut-henjut tubuhku menahan esak.

Bajuku ditarik lembut. “Kakak nak air”. Aku segera membawa adik ke dapur dan membancuh air sirap bandung untuknya. Sekali lagi emosiku terusik, “Bagitau ibu suruh balik cepat. Nak ibu.. Nak ibu!”. Adik menangis.

5 bulan ibu telah pergi meninggalkan kami tanpa akan kembali lagi. Sungguh aku tak sangka, begitu singkatnya masa aku bersama ibu. Andai ku tahu ibu akan pergi secepat ini, pasti akan ku luangkan masa selama 13 tahun itu, membahagiakan ibu. Tanpa akan menyusahkan ibu. Meminta itu ini. Tidak akan ku minta..dibelikan baju Raya baru, selipar baru, beg sekolah baru. Tidak ibu, aku tidak menginginkan kesemua itu. Aku hanya mahu ibu di sisi. Aku mahu dipeluk ibu. Baring di riba ibu.

Aidilfitri pertama tanpa kehadiran ibu, sungguh..aku cukup terseksa. Adik-adik yang sering bertanyakan ke mana ibu pergi. Menangis-nangis meminta ibu balik segera. Bagaimana harus kuterangkan? Hingga akhirnya aku turut menangis sama.

Beraya buat kali pertamanya tanpa ibu, sungguh aku rasa sangat asing. Perasaanku kosong. Yang ada hanya kerinduan buat ibu. Betapa aku sedih, sunyi, merindui kehadiran ibu. Kepada siapa ingin kuluahkan? Menangis..menangis..menangis..hingga akhirnya aku tidur dengan air mata berlinangan.

Ibu…ibu pergi terlalu awal. Aku belum bersedia kehilangan ibu. Menggantikan tempat ibu…mengurus rumah, menjaga adik-adik, membimbing adik, menunjuk jalan yang salah, jalan yang betul. Zaman remajaku ibu..bermulanya 13 tahun itu..ku rasakan sangat payah. Penuh duka, air mata, kesengsaraan. Kedatangan Aidilfitri seakan tidak bermakna bagiku. Rumah kita..hilang serinya tanpa ibu. Tiada lagi kunjungan sanak saudara, sunyi…suramnya rumah kita sesepi kesedihan yang kutanggung ibu…

“Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Kita menangis dan tertanya-tanya, ke mana hilangnya matahari. Rupa-rupanya Allah nak hadiahkan kita pelangi.”

- Al-fatihah buat arwah ibuku –
Moga ibu ditempatkan bersama orang-orang beriman

Atas segala kepayahan, mengajar aku bercekal hati. Aku nekad keluar dari kepompong kesedihan. Alhamdulillah ibu, kini aku sudah mampu berdepan dengan hakikat. Mengharungi cabaran hidup. Berjaya menamatkan pengajianku, adalah hadiah terindah buat diriku. Siapa sangka anak yatim yang diberi dugaan besar dalam hidupnya, membuat anjakan paradigma ke arah kehidupan yang begitu bermakna. Syukur..atas segala kurniaanNya.

Kini, kehadiran Aidilfitri dinanti dengan penuh teruja, beraya bersama suami tercinta. Ya Allah, terima kasih memilihku atas ujianMu. Terima kasih meminjamkan aku seorang ibu selama 13 tahun. 

11 comments

Nnt da kelapangan lya join

waa.. all the best tauu =D

N dah join segmen yang sama juga :D

Tahniah, sila berikan details yg diperlukan sprt yg dimaklumkan di sini http://engkumuzahadin.blogspot.com/2014/07/pemenang-giveaway-memoria-aidilfitri.html


EmoticonEmoticon