ZAMAN sekarang,
semua barang mahal. Minyak mahal, kereta pun mahal, sewa rumah mahal, makanan
pun mahal. Kos sara hidup zaman sekarang berbeza dengan zaman dahulu.
Meskipun
terhimpit dengan bebanan hidup masih ramai yang lupa, alpa bahawa rezeki itu
datangnya dari ALLAH. Sesukar mana pun kehidupan, DIA berkuasa mengubah
segalanya hanya dalam sekelip mata.
Pertemuan
dengan Rina (bukan nama sebenar) membuka mata penulis bahawa luasnya pintu
rezeki ALLAH, dan betapa mudah sebenarnya untuk memperoleh rezeki dengan
keizinanNYA.
“Ramai
yang tidak tahu tentang empat rahsia pintu rezeki oleh ALLAH, antaranya adalah
orang tua kita. Orang tua kita adalah pintu rezeki utama dan paling mudah bagi
kita untuk memperoleh kesenangan hidup,” katanya ketika membuka cerita yang
berkisar kepada pengalaman dirinya sendiri.
Menceritakan
serba sedikit mengenai latar belakang peribadi Rina, Rina merupakan anak ketiga
dari lima beradik dan berasal dari Perlis. Menetap di Kuala Lumpur kerana
memperoleh peluang pekerjaan di bandar besar, Rina yang kini berusia 25 tahun
mengakui jarang pulang menjenguk ibu di kampung. Baginya, kerjaya yang dibina
lebih penting berbanding segala-galanya.
“Dulu,
yang lain semua tolak ke tepi. Yang penting, dahulukan kerja dulu. Saya anggap
kerja itu penting sebab dengan gajilah saya boleh bayar kereta, hantar duit ke
kampung untuk bantu beli ubat dan makanan mak, dan bayar rumah sewa saya. Tapi
saya lupa, rezeki itu kuasa ALLAH. Sebesar mana pun usaha kita, ia tidak akan
membuahkan hasil kalau Dia tidak bagi rezeki,” kata Rina lagi.
Kata
Rina, masalah kewangan sentiasa menduduki carta nombor satu dalam kehidupan
sehariannya. Wang yang ada tidak pernah cukup untuk menampung hidupnya walaupun
dia masih bujang.
“Kurang
10 bulan lagi saya akan mendirikan rumah tangga dan saya tidak ada simpanan
untuk berkahwin. Saya sudah tidak sanggup minta tangguh (perkahwinan) kerana
sebelum ini kami (Rina dan bakal suami) sudah tunda tarikh perkahwinan kami,”
katanya.
Bagaimanapun,
segalanya berubah buat Rina apabila ibunya yang pada mulanya hanya mengalami
batuk biasa, akhirnya terpaksa dirujukkan ke hospital pakar akibat sesak nafas.
Menurut
Rina, sebaik sahaja mendapat perkhabaran tersebut, dia bergegas pulang ke
kampung untuk menjenguk ibunya.
“Saya
masih ingat lagi, baki dalam akaun Maybank saya hanya ada RM12.60. Wang tunai
dalam tangan hanya ada RM150. Duit gaji hanya akan masuk lagi dua minggu. Saya
sudah tidak ada duit.. Itulah duit makan dan itulah duit yang saya gunakan
untuk mengisi minyak kereta. Tetapi semua itu saya tolak ke tepi, saya balik
juga ke kampung untuk menjenguk ibu di hospital.
“Ketua
saya benarkan saya bercuti untuk menjaga ibu. Saya lega. Pada hari yang sama,
saya pulang ke kampung. Tiba di kampung, saya tidak balik rumah langsung. Niat
saya pulang hanya untuk jaga ibu, sepanjang empat hari, siang dan malam saya
dihabiskan bersama ibu. Empat malam jugalah saya tidur beralaskan selimut dan
tikar nipis,” katanya lagi. Bercerita lanjut, Rina berkata, walaupun mengalami
masalah kewangan, dia tidak pernah meminjam dengan keluarga atau kawan-kawan.
“Saya
bukan sombong untuk menadah tangan, tetapi saya risau kalau tidak dapat
membayar hutang kawan-kawan. Masalah kewangan hanya dikongsikan bersama ‘encik
tunang’. Dialah yang membantu menguruskan kewangan saya.
“…
Saya sudah lama tidak habiskan masa bersama ibu sejak saya bekerja. Sudah
banyak kali ibu minta saya pulang ke kampung, alasannya cuma satu, dia minta
saya temankan dia untuk membeli-belah. Saya tahu dia rindukan kepulangan saya,
tetapi saya kerap beralasan. Seringkali saya abaikan dia. Permintaannya tidak
saya endahkan. Bila terkenangkan semua itu, saya jadi sedih,” kata Rina kepada
penulis.
Menurut
Rina, ketibaannya di hospital di sambut dengan senyuman ibu. Walaupun ibunya
sakit, digagahkan tenaga tua itu untuk menghabiskan masa berbual panjang dan
bergurau dengan Rina. Malam pertama Rina di hospital, tidurnya hanya beralaskan
surat khabar lama dan tikar nipis. Rina tidak banyak merungut. Tidurnya tenang
dan boleh dikatakan lebih lena dari sebelumnya.
“Keesokan
harinya, saya dihubungi rakan. Dia hubungi saya untuk minta bantuan promosikan
perniagaan tudungnya yang baharu sahaja dibuka. Dari situlah timbulnya idea
untuk lariskan jualan rakan, dan saya hanya ambil komisyen di atas setiap
pelanggan yang membuat pembelian melalui saya. Empat hari menjaga ibu, akaun
dalam bank saya sudah mencecah lebih RM5,000. Menjelang seminggu, akaun bank
saya menunjukkan angka sebanyak RM7,000,” katanya lagi.
Jelas
Rina lagi, perniagaan menerusi Online tersebut hanya dilakukan secara sambilan
ketika menjaga ibunya di hospital. “Rezeki saya melimpah-ruah. Malah lebih dari
yang dijangkakan. Saya gunakan duit sebaiknya. Saya bawa keluarga ke salah satu
lokasi pelancongan terkenal tanah air untuk bercuti bersama (ibunya menurut
Rina, sudah sembuh sepenuhnya pada ketika itu), saya beli kelengkapan kahwin
dan rumah, selebihnya saya simpan untuk kegunaan pada hari-hari mendatang.
“Sekarang,
saya selalu pulang ke kampung. Kalau tak balik ke kampung, saya akan hubungi
ibu menerusi telefon dan bertanya khabar. Saya tidak lagi berahsia tentang
apa-apa pun dengan ibu. Selalu saya katakan pada ibu, ibulah punca rezeki saya,
dan saya akan usaha untuk jaga ibu selagi saya hidup,” katanya lagi.
Rina
dalam pada itu turut berpesan kepada masyarakat khususnya golongan belia masa
kini.
“Orang
zaman sekarang lupa, dan alpa ibu bapa di kampung. Sibuk sangat mengejar harta
dunia sehinggakan terlupa bahawa ibu bapa itulah salah satu pintu rezeki kita.
“Jangan derhaka pada ibu. Jangan derhaka pada
bapa. Merekalah yang dahulunya bersusah payah membesarkan kita. Sampai masa,
kita perlu balas semula jasa mereka. InshaALLAH, ALLAH akan balas semula
kebaikan kita pada mereka,” ujar
Rina sebelum mengakhiri perbualan kami.
Sementara
itu, Dr Mohd Azhar Abdullah, beliau berkata, konsep rezeki adalah satu konsep
yang luas, namun setiap manusia perlu berbuat baik dengan ibu bapa
masing-masing untuk dipermudahkan perolehan rezeki.
“Kita
perlu berbalik kepada konsep asal kejadian kita. Kita datang dari ibu dan ayah
dan pemberian (rezeki) paling besar dari ALLAH untuk kita adalah kelahiran kita
ke dunia. Kita lahir dan membesar daripada pernafasan ibu kita, susuannya dan
susah payah ibu kita. Sebab itu ALLAH letakkan syarat untuk kita berbuat baik
kepada ibu kita,” katanya kepada Sinar Online.
Jelas
Mohd Azhar yang juga Timbalan Ketua Eksekutif Hal Ehwal Pelajar, Kolej Islam
Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias), di Kota Bharu, Kelantan berkata,
sekiranya kita berbuat baik kepada ibu bapa, ALLAH akan melipatgandakan rezeki
yang diperoleh dalam kehidupan kita.
Semua
yang hidup akan memperoleh rezeki dariNYA. Tetapi keberkatan rezeki itu yang
penting. Dengan berbuat baik kepada ibu bapa, rezeki lebih mudah diperoleh,
rezeki yang kita dapat akan ditambah dan kebahagiaan juga akan diperoleh.
Saluran
paling luas bagi kita untuk memperoleh rezeki adalah dengan memperoleh keredaan
ALLAH, dan keredaan ALLAH bergantung kepada keredaan ibu bapa. Pintu rezeki itu
akan tertutup sekiranya kita ingkari ibu bapa.
.
↓↓↓Carian Pembaca Paling Panasss↓↓↓
↓↓↓Carian Pembaca Paling Panasss↓↓↓
3 comments
Salam... ye betul.. tak luak pun gaji kita kalau bagi kat mak bapak duit tiap2 bulan. jadi kan amalan wajib. dulu susah sikit sbb mak guna bank lain dengan saya.. tapi suruh adik bukakkan satu akaun untuk dia. haaa skang terus transfer je masa hari gaji.
Alhamdulilahhh kan
Adda selalu bg kat adik duit minta bagi kat parents. Sebab kalau minta no akaun memang mak tak bagi