10 Julai 2011
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah dalang dan petualang sebenar di sebalik penganjuran perhimpunan haram semalam, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Najib Razak menyifatkan perhimpunan haram anjuran pertubuhan tidak berdaftar Bersih 2.0, adalah rancangan terdesak Ketua Pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk memanipulasi rakyat bagi meraih sokongan.
Najib yang juga Presiden UMNO berkata, Anwar tergugat dengan sokongan rakyat yang semakin kuat terhadap kerajaan berikutan pelbagai dasar pembangunan ekonomi yang telah dilaksanakan.
Ketika berucap kepada 6,000 hadirin pada majlis Penerangan Perdana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini, beliau berkata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sanggup mengorbankan prinsip dan mengetepikan agama dan bangsa asalkan dapat mencapai impiannya menjadi Perdana Menteri.
"Dia tahu kalau dia tak lakukan sesuatu, kita (Barisan Nasional) akan menang dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Ini adalah peluang terakhir baginya (Anwar). Bila orang tahu ini peluang terakhir, mereka akan buat segala-galanya, baik atau tidak," katanya.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata Anwar sengaja hendak menjejaskan imej negara dan menunjukkan kepada dunia yang Malaysia ini tidak demokrasi dan sebaliknya cuba menunjukkan dirinya sebagai seorang yang baik.
"Perangai hodoh ini tidak pernah ubah dari dulu sampai sekarang," katanya.
Beliau berkata, Anwar mahu menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, tetapi pemilihan PKR juga dicemari pelbagai skandal. - BERNAMA
.
↓↓↓Carian Pembaca Paling Panasss↓↓↓
↓↓↓Carian Pembaca Paling Panasss↓↓↓