Kerajaan akan terus pertahan DEMOKRASI: Najib



10 Julai 2011
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini menegaskan bahawa kerajaan akan terus mempertahankan sistem demokrasi dan tidak takut menghadapi mana-mana pembangkang dalam pilihan raya umum apabila tiba masanya.

Sambil menyerahkan kepada kebijaksanaan rakyat untuk membuat keputusan dalam pilihan raya nanti, beliau mengingatkan mereka supaya tidak memulakan budaya demonstrasi jalanan.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, penganjur perhimpunan haram semalam yang didalangi pembangkang hanya ingin memberi gambaran kepada dunia luar bahawa kerajaan yang ada sekarang tidak demokratik.

Sedangkan matlamat UMNO dan Barisan Nasional, katanya, hanya mahu melihat rakyat pelbagai kaum terus hidup dalam suasana aman dan harmoni agar kerajaan dapat merancang segala program demi faedah mereka.

"Kami tidak suka pada huru-hara, kami suka pada keamanan, kami suka pada negara yang mana rakyatnya hidup dalam harmoni, kita suka negara di mana kita tahu masa depan kita lebih baik dari hari ini.

"Inilah sebab kita berhimpun hari ini, bukan kita nak berbalah, bukan kita nak menunjukkan kekerasan pada mana-mana pihak, tetapi kita nak tunjuk kekuatan, ini orang kata majoriti pasif, kita nak tunjuk suara kita bersama-sama kerajaan,"
katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan 6,000 hadirin mewakili UMNO, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pada majlis Penerangan Perdana di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib berkata pembangkang dan penganjur perhimpunan haram semalam adalah "kaki pusing" kerana terlalu banyak helah yang dibuat untuk menggambarkan di mata dunia bahawa Malaysia mempunyai kerajaan yang tidak demokratik.

"Mula-mula terima titah nasihat Agong, kata akan batalkan perhimpunan haram, lepas itu pusing balik sebab mereka ini kaki pusing, kata nak buat perarakan aman, kalau polis tak kawal, tak jadi aman.

"Kerana apa? Kerana mereka nak tunjuk pada dunia bahawa kita ini kerajaan yang tidak demokratik, tidak hormat pada undang-undang dan hak asasi manusia, jadi tidak hairanlah dia akan sebar dalam Youtube, media antarabangsa.

"Kononnya kita ini tidak liberal, kita sudah cukup liberal, tengok media online, kebanyakannya bantai kita tetapi kita tak tutup (internet), semuanya nak gambarkan pada dunia bahawa kita berat sebelah, kononnya demokrasi kita tempang kerana tidak hormat pembangkang,"
katanya.

Najib berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebenarnya pejuang sebenar sistem demokrasi sejak kerajaan ditubuhkan kerana ia sentiasa mempertahankan dan menambahbaik Perlembagaan serta institusi Diraja.

"Kita sebuah parti yang tahu kalau nak kekalkan kuasa di tangan kita, kita mesti dapat tawan dan pikat hati serta minda rakyat, sebab itulah saya ajak kita semua pergi jumpa dengan rakyat, bagi tahu mereka bahawa UMNO dan BN tetap pertahankan prinsip demokrasi di dalam negara kita," katanya.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, kerajaan akan memastikan sistem demokrasi dan pilihan raya umum dalam keadaan bebas dan bersih.

Justeru, katanya, beliau tidak rela sekiranya UMNO menubuhkan kerajaan dengan menipu rakyat, tetapi beliau mahu membina kerajaan di atas sokongan dan dokongan rakyat sepenuhnya.

"Ini satu-satunya tanah air kita, ini adalah satu sejarah yang amat besar ertinya, kita akan pertahankannya dalam apa jua keadaan, jangan ada sesiapa yang cuba memperkotak-katikkan Malaysia yang tercinta,"
katanya.

Justeru, Najib mengajak semua orang Melayu agar bangkit dan bersatu padu bersama-sama kaum lain untuk menambah kekuatan negara agar UMNO dan BN dapat memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Bila dapat isyarat, kita dapat bersatu, bila saya minta (Yang di-Pertuan) Agong bubar Parlimen, kita akan buktikan bahawa negara ini milik siapa, kita mahu Malaysia dan UMNO dihormati di dunia, perkuatkan barisan kita, perpaduan maka kita akan berjaya dalam perjuangan kita," katanya. - BERNAMA
.
↓↓↓Carian Pembaca Paling Panasss↓↓↓