MINI CONTEST HARI GURU 2014: SEBUAH KENANGAN

contest hari guru
KLIK BANNER UTK JOIN
TAMAT: 14/05/2014

Kenangan bersama guru yang tak boleh aku lupakan. Kenangan terkandung pengajaran dan pembelajaran. Kisahnya bermula begini….

Cikgu Arman, cikgu yang mengajar subjek Sains kelas kami juga merangkap guru kelas 4A1. Kegarangannya menjadi gerunan pelajar nakal di sekolah. Tapi bagi aku, beliau tidaklah segarang mana. Malah bagi aku, ada lebih ramai lagi guru yang garang di SMKT.

Bertembung dengan Cikgu Arman, bukanlah perkara yang aku sukai. Malah sering kali aku menganggap kehadirannya sebagai invisible. Mungkin kerana aku jemu untuk berurusan dengan beliau. Urusan yang tidak pernah selesai.

Dalam kelas, acap kali namaku dipanggil. Sebagai orang suruhannya menjawab soalan. Mungkin kerana itu juga menimbulkan rasa ketidakpuasan di hati aku. Mengapa mesti aku. Sudahlah aku perlu melapor diri padanya setiap hari, tanda tanganku di ambil, dalam kelas pula, aku perlu menghadap semua pertanyaannya.

Cuti penggal persekolahan bakal bermula tidak lama lagi. Cuti yang panjang memberi keresahan dalam diriku. Sesungguhnya, ingin sahaja aku ghaib! Tanpa perlu melalui hari yang membosankan yang begitu panjang! Jangankan kata nak cuti 1-2 minggu. Cuti 2 hari di rumah pun sudah membuatkan aku meronta-ronta ingin ke kembali ke sekolah.

Di sekolah, tidaklah juga begitu menenteramkan aku. Ada sahaja kes yang diadukan oleh pengawas ke guru disiplin. Menjejak kaki ke bilik guru disiplin bukanlah hal yang besar bagiku. Kerana itu juga aku perlu menghadap muka Cikgu Arman setiap hari. Agar pergerakan aku diketahui, dijejaki.

Entah mengapa hari itu, aku melalui kawasan makmal sains sekolah. Kedengaran suara lantang dari jauh. Rasanya suara itu sudah sebati dengan pendengaranku. Ku intai dari jauh. Ya…itu suara Cikgu Arman! Rasa seakan kecut perutku melihat kegarangannya. Jadi, memang benar dakwaan rakan-rakan ku, dia seorang yang tegas dan garang! Kejadian itu mengubah persepsi aku pada Cikgu Arman. Guru yang tak boleh dipandang enteng! Terdetik di hati aku, aku pun pelajar bermasalah, tapi mengapa aku tidak pernah dimarah sebegitu rupa.

Sebelum cuti penggal bermula, perjumpaan guru bersama ibu bapa pelajar diadakan. Guru akan membentangkan rekod pelajar dan berdiskusi bersama ibu bapa pelajar sebelum pelajar balik bercuti panjang. Jam sudah menunjukkan pukul 11.30 pagi. Satu per satu pelajar balik selesai sahaja perjumpaan dengan guru kelas. Yang tinggal, 2 orang. Masing-masing masih menunggu kehadiran ibu bapa masing-masing.

Aku semakin resah. Bukan kerana rekod disiplinku bakal terbongkar. Tapi aku resah memikirkan cuti yang tiada makna bagiku. Dari jauh, Cikgu Arman memberikan isyarat untuk datang berjumpa dengannya. Dengan langkah malas, kuturuti jua.

Cikgu Arman: Ayah kamu dah tahu pasal perjumpaan ni?
Aku: Tahu.
Cikgu Arman: Cuti panjang ni kamu nak buat apa?
Aku: Tak tahu.
Cikgu Arman: Kenapa hujung minggu kamu selalu stay di asrama? Kamu ada masalah di rumah?
Aku: Takda apa-apa.
Cikgu Arman: Cikgu lihat fail pelajar kamu, ibu kamu dah meninggal dunia. Betul?

Ketika itu, aku dah tak mampu memandang Cikgu Arman. Setiap kali topik ibuku dibicara, hatiku menjadi sebak.

Cikgu Arman: Kamu seorang pelajar yang pandai, cepat belajar. Sayang jika kamu tak manfaatkan peluang ni sebaiknya. Tengok rekod kamu ni, walaupun kamu selalu terlibat dengan masalah disiplin tapi kamu berada di kedudukan terbaik dalam kelas. Nombor 4 daripada 42 orang pelajar. Kelas terbaik, teratas, 4A1. Kamu ada banyak potensi. Dalam subjek Sains, 2 kali dapat markah tertinggi. Kamu dan Zaza jauh berbeza. Jangan sesekali terpengaruh dengan Zaza.
Aku: Saya seronok ada kawan seperti Zaza. Dia sentiasa gembirakan saya.
Cikgu Arman: Kalau kamu ada masalah, kamu boleh luahkan pada cikgu. Mungkin cikgu boleh membantu.
Aku: Saya tak ada apa-apa masalah. Saya nak tunggu ayah saya kat luar kelas.
Cikgu Arman: Kamu duduk di sini, sehingga ayah kamu datang!

Cikgu Arman tetap berkeras. Perkara itu sangat menjengkelkan hati aku ketika itu.

Cikgu Arman: Cikgu ingin kamu ceritakan pasal ibu kamu.
Aku: Ibu saya sudah meninggal dunia. Tak ada apa-apa yang menarik untuk diceritakan.
Cikgu Arman: Beritahu cikgu apa yang kamu tak suka.
Aku: Ada banyak benda yang saya tak suka. Nanti cikgu tak suka nak dengar.
Cikgu Arman: Cikgu akan dengar..senaraikan benda yang kamu tak suka.
Aku: Saya tak suka jumpa cikgu setiap hari semata-mata nak tanda tangan. Saya tak suka pengawas laporkan hal saya pada guru disiplin. Saya tak suka bila orang pandang rendah pada saya. Saya tak suka orang tunjukkan simpati pada saya. Saya tak suka tinggal di rumah. Saya tak suka buat kerja rumah, masak, jaga adik-adik saya. Saya benci melalui kehidupan sebegitu. Ibu saya meninggal ketika usia saya 13 tahun. Selama itu saya perlu menjadi ibu, sehingga sekarang! 3 tahun saya hidup tanpa kehadiran seorang ibu. Saya tertekan di rumah.

Air mataku perlahan-lahan mula mengalir.

Cikgu Arman: Jadi kerana itu kamu selalu stay di asrama. Buat hal di sekolah.
Aku: Saya benci kehidupan yang saya ada sekarang. Zaza ada keluarga sempurna, ibu ayah Zaza sentiasa sayangkannya. Mengapa hidup saya tak sebahagia Zaza.
Cikgu Arman: Setiap orang ada dugaannya. Cuba kamu lihat, Zaza mempunyai keluarga bahagia, tetapi dia pelajar bermasalah di sekolah. Pelajar di kelas tercorot. Berbanding dengan kamu, kamu pelajar di kelas terbaik. Walaupun kamu sering buat masalah, gred ujian kamu sentiasa bagus. Itulah kelebihan yang Allah kurniakan kepada kamu. Diberikan otak yang pandai, cepat tangkap. Cikgu perasan dalam kelas, walaupun kamu sering tak endahkan yang cikgu ajar, tapi kamu seorang fast learner. Kamu ingat cikgu tak tahu yang kamu tak suka bila cikgu soal kamu. Dengan memek muka masam kamu..

Dalam aku bersedih, sempat juga aku tergelak kecil oleh gurauan Cikgu Arman.

Aku: Mengapa cikgu tak pernah marahkan saya. Macam cikgu marahkan budak-budak lain?
Cikgu Arman: Kamu mempunyai masalah peribadi. Cikgu tak nak menambah beban pada kamu. Bila kamu bertanya sendiri macam ni, kan lebih senang untuk cikgu terangkan sebab kamu tak perlu cetuskan masalah di sekolah. Kamu ada apa-apa lagi nak cakap pada cikgu?
Aku: Esok dah start cuti. Saya tak suka cuti.
Cikgu Arman: Kamu nak keluar dari masalah ni? Cikgu ada rahsia.
Aku: Ya?
Cikgu Arman: Belajar rajin-rajin. Sampai kamu menjejak kaki ke universiti. Lepas tu, kamu akan tahu rahsia yang cikgu maksudkan.

Perbualan selama 10 minit amat memberi makna dalam kehidupan aku sekarang. Kata-kata Cikgu Arman aku semat dalam kepala. Tidak akan goyah dengan dugaan yang sentiasa datang menimpa. Sehingga kini, selepas 8 tahun bergraduasi di salah sebuah universiti di Malaysia (UMS), kini aku memahami maksud yang Cikgu Arman maksudkan. Terima kasih Cikgu Arman atas dorongan kata-kata positif. Cikgu bukan sahaja menyampaikan ilmu pelajaran, tetapi berkongsi ilmu cara untuk menempuhi alam kehidupan.

Sure ramai yang tertanya-tanya. Adakah aku bertukar menjadi pelajar baik 100% sejak kejadian itu. Oh..pastinya tidak. Ini bukan drama di tv, yang kita boleh tengok perubahan mendadak sekelip mata. Adakalanya aku terbuat masalah di sekolah. Tapi tidaklah sekerap dulu. Malah setiap kali aku menerima ajakan Zaza untuk membuat sesuatu, akan aku fikirkan baik dan buruknya terlebih dahulu.

Tentang rahsia yang dimaksudkan Cikgu Arman… Aku kena belajar bersungguh-sungguh. Bila aku fokus pada ulangkaji di rumah, automatik aku tidak terlalu memikirkan masalah di rumah. Umur adikku paling bongsu selepas pemergian ibuku ketika aku di tingkatan 1 ialah 2 bulan. Bayangkan aku yang berusia 13 tahun menjaga bayi yang berusia 2 bulan. Terkapai-kapai aku dibuatnya. Kerana itu aku benci untuk berada di rumah. Kerana tugas menjadi seorang ibu. Bila aku bersekolah, adik akan dijaga oleh jiran sebelah. Bila aku cuti 2 hari, cuti hujung minggu. Tugas itu akan digalas oleh aku. Bayangkan jika aku bercuti panjang..ingin sahaja aku menjadi orang bunian. Ghaib seketika di dunia.

Tiada tempat mengadu. Tiada tempat aku menumpang kasih seorang ibu. Malah aku yang begitu muda pula terpaksa memikul tanggugjawab yang besar. Tidak sempat aku merasai manisnya zaman remaja! Masalah yang aku hadapi, dipendam, pendam, pendam. Hingga akhirnya meletup di sekolah. Kerana itu aku sangat popular di bilik guru disiplin.

Suratan dariNya..dipertemukan aku dengan guru yang memahami. Tugasnya bukan hanya mengajar. Tapi menunjukkan jalan yang betul dan lurus untuk aku lalui sebagai seorang pelajar dan manusia. Selama 3 tahun aku memendam rasa amarah, rasa tertekan. Akhirnya kekusutan terlerai di hadapan guru bernama Cikgu Arman. Sejak perbualan itu, baru aku mengetahui rupa-rupanya aku mempunyai kelebihan diri. Kelebihan yang aku ada, dimanfaatkan sebaiknya. Hingga aku berjaya ke menara gading.

Cukuplah setakat ini. Kurasakan kisah ini panjang umpama novel. Mungkin kalau dihantar pada pengarah, sudah boleh di buat drama tv. Hihi.. Apa pun aku bersyukur kerana terpilih melalui ujian ini, kalau bukan kerana dugaan ini mungkin aku tidak akan berjaya seperti sekarang.

Alhamdulillah, berjaya ke menara gading, UMS, berkat didikan guru-guru

Terima kasih buat guru-guru yang pernah mendidik aku. Memberikan aku ilmu. Terutamanya Cikgu Arman, yang mengajar aku mengenal erti kehidupan. Mengajar cara menghargai kehidupan. Mengajar untuk redha dengan suratan. Sentiasa memberi, mengajar, menyebarkan ilmu. Insha Allah, ilmu yang aku ada sekarang, akan aku usahakan berkongsi bersama orang lain. Sama ada secara lisan atau pun di alam maya menerusi blogging.

Selamat Hari Guru buat guru seluruh dunia!
Moga menjadi pendidik cemerlang!

- Al-Fatihah buat arwah ibuku -

17 comments

gud luck..jom join http://nuyushahidarahim.blogspot.com/2014/05/mini-giveaway-kcolly-by-syiera-firdaus.html

Tahniah sis, hm menangis sya bca heh

Tahniah kerana menang contest ni. 1st time rasanya nmpk gambar Yumida. UMS rupanya hehe...congrats dear !

hihi..jarang letak gambar. blogger x fofular
thanks cla

thanks mira
kisah yg blh dijadikan isnpirasi semua org
kesusahan melonjakkan diri kita keluar dri tmpt itu

taniah menang segmen ni. hehe.. cerita yg menarik

patutlah menang,memang best pon cete.tacing

tahniah...contest ni lecturer saya yang buat..jalan2 kat blog encik fazli tadi nampak pasal contest ni..tengok2 awak pemenang tempat pertama..tahniah ye! ;)

terima kasih :)
anak didik lecturer dtg mengomen..nanti singgah la lagi


EmoticonEmoticon