PERUTUSAN Y.A.B. PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ 1432 HIJRAH
PADA 27 REJAB 1432 H BERSAMAAN 29 JUN 2011
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,
Pertamanya, kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana di atas taufik dan inayahNya dapat kita menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj bersama umat Islam seluruh dunia. Sambutan ini sememangnya dinantikan oleh seluruh umat islam kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan dan membongkarkan keimanan serta keyakinan umat manusia tentang kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad SAW.
Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab pada tahun ke- 11 selepas kenabian Rasullah SAW ini adalah dua misi perjalanan hebat sebagai anugerah kemuliaan dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah SAW sebagai bukti kekuasaan Allah SWT sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 1 yang bermaksud :
“Maha Suci Allah yang yang memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidil al-Haram (Makkah) ke Masjidil Al-Aqsa (Palestin) yang kami berkati sekelilingnya sebagai tanda kekuasaan kami.”
Semasa di Masjid al-Aqsa, Allah SWT telah memperlihatkan kepimpinan baginda SAW menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya yang lain, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah kepada keseluruhan manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang telah menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.
Sesungguhnya hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini. Manakala isu Palestin merupakan isu yang mesti diperjuangkan oleh umat Islam sebagai agenda penting dakwah bagi membela rakyat Palestin dari kekejaman Rejim Israel.
Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj ini ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, Kefardhuan ibadah solat ini mesti dititikberatkan sebagai wahana membentuk keunggulan peribadi muslim dan tunggak kekuatan umat Islam. Keperibadian unggul muslim akan melahirkan semangat perpaduan yang akan menatijahkan keamanan sesebuah negara. Tanpanya, maka individu muslim akan lemah, sentiasa sukakan perpecahan dan tidak pentingkan keharmonian, malah bencikan keamanan yang ada.
Dalam konteks negara, berahmatkan peristiwa Israk dan Mikraj, maka kita juga sedang meniiti satu perjalanan yang hebat bersama-sama rakyat menuju Wawasan 2020. Kita sedang melaksanakan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi dari pelbagai bidang. Ini bagi membuktikan kemajuan dan kesungguhan kerajaan untuk membangunkan negara tercinta ini. Transformasi ini juga memerlukan keberanian dan perubahan minda secara menyeluruh dan memerlukan pencapaian yang berganda dan luar biasa.
Begitulah hebatnya hikmah dan peringatan yang boleh disingkap menerusi mukjizat Israk dan Mikraj Rasulullah SAW ini. Semoga seluruh umat Islam dapat menghayatinya dengan penuh insaf peristiwa agung ini untuk menjadikan kita sebagai umat terbaik dalam merintis perpaduan melalui kepelbagaian kaum dan agama. Mengakhiri perutusan ini, saya dan keluarga mengucapkan Salam Israk dan Mikraj kepada semua umat Islam Malaysia di mana jua berada.
Sekian Wassalam.
Perutusan Sambutan Peristiwa Israk Dan Mikraj 1432 Hijrah
.
↓↓↓Carian Pembaca Paling Panasss↓↓↓
↓↓↓Carian Pembaca Paling Panasss↓↓↓
Related Posts
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
EmoticonEmoticon