Tutur kata cermin budi pekerti



2011/07/07
Waspada sebelum bicara elak pemusuhan sesama umat


ALLAH menjadikan manusia amat istimewa dan berbeza berbanding makhluk-Nya yang lain. Keistimewaan manusia yang paling utama ialah Allah menganugerahkan mereka akal supaya manusia berfikir dan dihadiahkan buat sementara lidah untuk berbicara.
Ia bersebab dan dalam tuntutan bermuamalah dengan seluruh mahkluk di muka bumi ini, manusia mesti melakukannya dengan penuh rasa hormat dan beradab. Keupayaan berbicara adalah nikmat Allah begitu besar kepada manusia meskipun hanya dengan menggunakan dua tangan sebagai isyarat.

Firman Allah yang bermaksud: “Allah Yang Maha Pemurah serta melimpah rahmat-Nya, Dialah yang mengajarkan al-Quran, Dialah yang menciptakan manusia, Dialah yang membolehkan manusia memberi dan menerima pernyataan.” (Surah Ar-Rahman, ayat 1-4).

Justeru, nikmat kebolehan berbicara ini wajib dihargai, disyukuri dan digunakan sebaiknya mengikut landasan syarak. Islam menggariskan tatacara terbaik untuk menggunakan lidah yang sentiasa merungkaikan kalimah agar setiap butiran mendapat keredaan Allah.

Setiap perbicaraan keluar daripada seseorang menunjukkan apa yang ada dalam fikiran serta perangainya. Berbicara sesuatu yang perlu dan menghindari perbicaraan tidak berfaedah ibadah yang besar pahalanya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daripada kebaikan iman seseorang ialah meninggalkan apa yang tidak bermakna baginya.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Perkara paling utama ialah jangan berbicara mengenai sesuatu tidak berkaitan dengan diri kita kerana ia adalah bicara yang tidak perlu dan tidak akan menyelamatkan daripada dosa. Malah kita mungkin dipertanggungjawabkan dengan dosa dan sumpah palsu yang dibuat kerana keseronokan mengata sesuatu yang tidak pasti tanpa bukti menyokong.

Abu Darda menceritakan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya seorang pengutuk tidak boleh menjadi saksi dan memberi pertolongan (bagi saudaranya) pada Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Muslim).

Selain itu, ada juga bicara yang disampaikan kepada orang lain mengenai sesuatu sedangkan masanya belum tiba untuk menyentuh hal itu. Ini perlu dielakkan kerana jika membabitkan bahan bukti mahkamah, boleh mengganggu perbicaraan mahkamah atau menimbulkan hal memalukan.

Apabila seseorang yang tidak berilmu perlu berdebat dalam berbicara, jangan berdebat dengan orang sabar atau bijaksana, kerana orang sedemikian tidak akan menghiraukan orang yang tidak tahu bersopan santun dalam berbicara.

Jangan berdebat dengan orang yang berperangai buruk atau terlalu banyak tohmah kerana mereka akan menyakitkan hati saja. Sewajarnya berdebatlah jika perlu dengan orang yang bijak dan santun, manakala kita juga perlu penuhkan dada dengan ilmu serta sopan.

Tutur kata dikeluarkan seseorang dapat mengukur sejauh mana kemahiran, pengetahuan, buah fikiran, sopan santun, budi pekerti, pemarah, kasar, sombong atau kerendahan hatinya. Oleh itu, sewajarnya setiap insan memelihara lidah dan berbicara menurut pertimbangan akal waras.

Sebagai manusia, kita mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat. Walau bagaimanapun, ia mestilah tidak menimbulkan rasa marah atau menyinggung perasaan orang lain apatah lagi saudara sesama Islam.

Merenggangkan hubungan silaturahim, menimbulkan rasa marah, rasa benci, permusuhan dan jika keterlaluan mungkin menimbulkan kekacauan dan perbalahan.

Daripada Jundub bin Abdullah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada seorang lelaki berkata: Demi Allah, Allah tidak akan memberikan pengampunan kepada si Polan itu. Allah berfirman: Siapakah yang berani menyumpah atas nama-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Polan itu, sesungguhnya Aku telah mengampuni orang itu dan Aku menghapuskan pahala amalanmu yakni yang bersumpah tadi.” (Hadis riwayat Muslim).

Oleh itu, bagi mengelakkan berlaku sebarang perselisihan dan suasana tidak menyenangkan kita perlu berwaspada sebelum berkata.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom


EmoticonEmoticon