Lantikan Adenan cetus teka-teki pengganti Taib



2011/06/09
RANGKAI kata ‘ada tiga perkara’; ‘tok ajak jakok aku’ dan ‘ooohaa’ begitu sinonim dengan Tan Sri Adenan Satem, seorang veteran politik di Bumi Kenyalang. Pendek kata dalam hampir setiap ucapannya pada majlis rasmi, terutama sekitar 1980-an sehingga awal 2004, wajib ada istilah berkenaan diselitkan sebagai penyeri ucapan.

Biarpun wajahnya tampak serius, sikap selamba dan lucu beliau juga menyebabkan orang tidak pernah bosan mendengar ucapannya, biarpun ada kalanya beliau bersikap agak sinis terutama apabila orang yang berucap sebelum beliau, bercakap terlalu lama, panjang dan meleret-leret. Selalunya, Adenan akan memulakan ucapannya dengan ‘ada tiga perkara’ yang beliau mahu tekankan, dengan penutup kepada ucapannya ‘tok ajak jakok aku’ (dalam bahasa Iban yang bermaksud ini saja yang saya nak katakan). Sedang ‘oohaaa’ selalu digunakan sama ada pada awal atau akhir bicara beliau. Apapun istilah kegemaran Adenan itu agak jarang kendengaran apabila beliau berpindah ke Pusat dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada Mac 2004 sehinggalah beliau melepaskan jawatan itu dua tahun kemudian.

Adenan juga terkenal sebagai ‘ulat buku’ dan dikenali sebagai seorang yang sangat tajam pemikiran apabila berhujah dan berbahas, sehingga digeruni bukan saja di kalangan rakan dalam Barisan Nasional (BN), malah di kalangan pembangkang sekali pun.

Pendek kata, kalau bukan calang-calang, jangan berani nak ‘bertikam lidah’ dengan Adenan, lulusan guaman yang pernah menjadi ‘Tuan Majistret’ sebelum aktif dalam politik ini, kerana beliau amat petah dan bijak menyusun kata, selain begitu arif soal ‘undang-undang’.

Sekembalinya beliau ke Bumi Kenyalang pada 2006 selepas melepaskan jawatan dalam Kabinet Pusat, Adenan lebih fokus kepada tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu selama empat tahun, sehinggalah dilantik Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada 2 April 2010.


Bagi yang mengikuti perkembangan politik Sarawak, pasti tahu bahawa Adenan yang juga bekas adik ipar kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud itu adalah antara nama paling popular disebut-sebut bakal mengganti Abdul Taib satu ketika dulu.

Namun apabila beliau ‘bersara sementara’ dari Kabinet, nama pemimpin yang kini sudah menjangkau usia 67 tahun itu tenggelam seketika, sehingga buat seketika hanya tinggal dua nama di carta bakal Ketua Menteri Sarawak kelima – Datuk Amar Abang Johari Openg, 61, dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, 55.

Nama Adenan kembali menyertai carta bakal pengganti Ketua Menteri Sarawak apabila beliau dilantik sebagai Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada 2 April 2010 hingga pilihan raya negeri April lalu. Lebih mengukuhkan lagi cabaran Adenan untuk mengisi jawatan itu apabila pada 6 Jun lalu, iaitu kira-kira dua bulan selepas PRN Sarawak ke-10, Adenan dilantik menganggotai semula Kabinet Sarawak, dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.

Menurut Adenan, beliau dimaklumkan mengenai perlantikan ke Kabinet Sarawak oleh Ketua Menteri sendiri seminggu sebelumnya dengan tugas yang akan beliau galas lebih kepada isu berkaitan tanah, selain tugas lain, berdasarkan arahan Ketua Menteri, dari semasa ke semasa.

“Tidak ada tugas tetap, namun saya berjanji akan memikul amanah ini sebaik mungkin seperti yang dimahukan oleh Ketua Menteri. Tugasan harian saya di bawah naungan Jabatan Ketua Menteri,” katanya.

Adenan yang menjadi ADUN sejak 1978, juga pernah menjadi Menteri di Sarawak sejak 1987 hingga 2004 dengan menjawat pelbagai portfolio termasuk Pembangunan Tanah, Pertanian dan Industri Makanan dan Pembangunan Sosial.

Kini semua mata tertumpu kepada 3A – Adenan, Abang Johari dan Awang Tengah, kerana semua maklum Abdul Taib sudah secara terbuka mengumumkan akan berundur pertengahan penggal ini, mungkin pada tahun depan, atau paling lewat mungkin pada 2013. Namun ramai yang menjangka Abdul Taib akan berundur sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Abang Johari juga dilihat sebagai calon popular untuk mengisi jawatan itu, dengan beliau juga dikatakan mempunyai hubungan hubungan ‘intim’ dengan pemimpin di peringkat Pusat, sedang Awang Tengah juga tidak kurang popularnya dan terkenal sebagai ‘orang kanan kepercayaan’ Abdul Taib, serta sentiasa diberi tugas penting termasuk ketika pilihan raya umum dan negeri.

Siapapun yang bakal terpilih juga mestilah memiliki populariti, iaitu diterima dan disenangi rakyat pelbagai kaum di Sarawak serta semua pemimpin parti komponen BN.

Faktor usia menyaksikan Adenan paling senior sudah menjangkau 67 tahun, berbanding Abang Johari yang kini berusia 61 tahun, sedang Awang Tengah calon paling muda baru berusia 55 tahun. Atau apakah mungkin ada calon ‘misteri’ yang akan muncul secara tiba-tiba apabila tiba masanya kelak?.

Ketika Abdul Taib sudah menjangkau usia 75 tahun, waktu untuk beliau berundur sudah pasti semakin hampir. Beliau juga tentunya tidak mahu selama-lamanya duduk di kerusi empuk itu, dengan sebelum ini beliau sudah banyak kali menyatakan hasrat mahu berundur dan memberi perhatian penuh kepada keluarga, namun di halang oleh parti dan penyokongnya.

Persaingan mengisi kerusi empuk di tingkat 22 Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching, masih lagi terbuka. Biar siapa pun bakal pengganti Abdul Taib kelak, bukan saja bakal memikul tugas dan amanah bagi meneruskan kecemerlangan kepemimpinannya ke arah menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.


EmoticonEmoticon