Mencakar adalah sebahagian sifat kucing.
Anda baru sahaja membeli sehelai baju melayu, kononnya untuk dipakai semasa hari raya (ok, mungkin terlalu awal, tapi ini hanya contoh sahaja). Anda menyangkutkan baju itu pada penyangkut baju di dinding dan menuju ke ruang tamu.
Kucing anda memasuki bilik anda dan mencium bau baju tersebut. Bau yang dikesannya adalah asing baginya. Dia gelisah dengan objek baru yang mencerobohi kawasannya. Naluri memberitahunya supaya menanda baju tersebut sebagai sebahagian dari kawasan jajahannya.
Maka kuku dikeluarkan dan dihala ke baju yang tersangkut, kemudian ditarik sehingga mengoyakkan sedikit baju tersebut. Rasa puas menyelubungi celahan kuku kakinya, ototnya meregang dan keyakinan dirinya kembali pulih.
Kemudian dia melihat anda memandangnya dengan mata yang marah berserta dengan jeritan-jeritan yang tidak difahaminya. Dalam fikirannya mungkin dia berkata, "Tuan aku ni sihat ke tak?"
Alam kita berbeza
Bertentangan dengan anggapan orang ramai, kucing tidak mencakar sofa, karpet, kerusi, perabot, langsir atau apa sahaja disebabkan dia nakal atau jahat, atau membalas dendam, atau sengaja mahu sakitkan hati kita.
Kucing hanyalah berkelakuan seperti kucing, yang bertindak dengan cara yang difikirkan rasional mengikut persepsi alamnya sendiri. Sama seperti manusia yang akan bertindakbalas terhadap sesuatu, mengikut takrif rasional dalam alam kita sendiri.
Ada 5 sebab utama mengapa kucing mencakar, atau kadangkala perlu mencakar.
1. Menjaga dan Mengasah Kuku
Ini adalah sebab yang utama, kerana kelakuan mencakar ini sebenarnya membuang lapisan luar kukunya. Ianya sama seperti ular atau labah-labah yang bersalin kulit. Ini akan menajamkan kukunya, apabila kulit kuku lama dibuang dan diganti dengan kulit yang baru dan tajam.
Keupayaan pertahanan diri bertambah dengan adanya kuku yang tajam dan memberikan kucing kelebihan untuk melarikan diri dari pemangsa. Jika kita memelihara kucing sebagai indoor, mungkin pemangsa yang terbesar hanyalah bunyi mesin basuh atau penyedut vakum. Tetapi struktur fizikal ini tetap sama bagi kucing indoor atau outdoor.
2. Tandaan Kawasan
Mencakar adalah salah satu bentuk tandaan kawasan, sama seperti spraying. Tapak kaki kucing mengandungi kelenjar peluh yang akan mengeluarkan peluh dan meruap ke udara untuk mengawal suhu badan kucing. Tetapi bukan itu sahaja, pada bahagian tapak itu juga mengandungi kelenjar bau.
Apabila kucing mencakar, dia akan meninggalkan kesan fizikal cakaran yang boleh dilihat oleh kucing lain, dan juga tandaan bau dari tapak kakinya sebagai mesej jelas kepada kucing lain bahawa ini adalah kawasannya.
Kadangkala kita akan melihat kucing akan menyentuh kita dengan tapak kakinya beberapa kali, sebagai mesej memberitahu bahawa anda adalah miliknya.
3. Regangan Otot
Kucing mencakar untuk meregangkan ototnya di bahagian tapak kaki, kaki dan belakang badan. Sama seperti manusia yang meregangkan badan selepas kita bangun tidur atau duduk terlalu lama.
Kucing menggunakan kukunya sebagai cangkuk bahagian hadapan badan supaya mereka mendapat keregangan untuk keseluruhan badan yang lain. Ini adalah baik untuk kesihatan kucing itu sendiri.
4. Kneading atau Meramas
Kneading sebenarnya bukanlah perlakuan mencakar, tetapi kepada perlakuan meramas atau menguli menggunakan kaki hadapan. Semasa kucing masih kecil dan menyusu dari ibunya, dia akan menggunaan kaki dan kuku yang kecil itu untuk menguli puting susu ibunya.
Kukunya semasa kecil bertindak seperti jarum halus yang akan merangsang aliran susu untuk keluar. Apabila dewasa, sesetengah kucing masih terbawa-bawa dengan kelakuan ini apabila mereka berasa tenteram atau bermanja mungkin kerana kenangan semasa dia masih kecil.
Cumanya apabila sudah dewasa, kukunya bukan lagi kecil dan halus, ia lebih kepada mata jarum yang kasar dan tajam, hehe.
Ada juga pemilik kucing yang tidak suka dengan perlakuan ini, bagi saya ini bukanlah satu masalah. Kucing itu hanya menunjukkan reaksi yang dia selesa bersama tuannya. Apa yang diperlukan adalah memotong sedikit kukunya, dan tidak perlulah sampai ke tahap melakukan ubahan perilaku.
5. Menggaru
Kucing juga menggunakan kukunya untuk menggaru. Tidak ada penyelesaian yang lebih enak dan memuaskan selain menggaru apabila badannya berasa gatal.
Namun begitu, biasanya kucing hanya menggunakan kaki belakang untuk menggaru dan kaki hadapan hanya untuk membersihkan diri (dan kadangkala melibatkan penggunaan kuku)
.
↓↓↓Carian Pembaca Paling Panasss↓↓↓
↓↓↓Carian Pembaca Paling Panasss↓↓↓