IGP: Ugutan godam laman web kerajaan, Malaysia tingkat sekuriti



KUALA LUMPUR, 15 Jun — Malaysia mula meningkatkan tahap keselamatan ekoran ugutan bahawa laman web rasmi kerajaan akan digodam oleh kumpulan yang menggelar diri mereka Anonymous berikutan langkah pihak berkuasa mengadakan tapisan program hiburan dan menjejaki aktivis.

“Kami ada menerima kata-kata ugutan ini. Banyak agensi terlibat dalam ini dan kami akan bertindak,” kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar kepada Reuters hari ini.

“Siasatan perlu dijalankan dan kami harus melindungi sistem kami pada masa yang sama,” katanya.

Laporan Reuters juga berkata, Malaysia menjadi negara terbaru berhadapan dengan sasaran perang siber yang digerakkan oleh aktivis, yang mula popular apabila mereka mengganggu laman web MasterCard dan Paypal yang memutuskan perkhidmatan kewangan kepada Wikileaks.

Mereka juga ada hubungan dengan kumpulan-kumpulan yang pernah menggodam laman web di Syria, Tunisia, Mesir dan India.

Menurut Reuters lagi, dalam satu lagi makluman disiarkan di laman pastebin.com, Anonymous berkata tindakan Malaysia menapis program televisyen dan filem dan menghalang laman-laman perkongsian fail menyebabkan pihaknya mengambil tindakan mahu menggodam laman web http:www.malaysia.gov.my.

“Internet adalah untuk kebebasan, tanpa rasa takut dengan campur tangan kerajaan,” kata kumpulan itu.

“Kami bimbang bahawa jika anda membuat keputusan susulan untuk membuang kebebasan awam. Kami bertanggungjawab untuk bertindak pantas dan tiada belas kasihan,” katanya.

Pada 2009, Malaysia bercadang untuk mengadakan sistem tapisan Internet, yang mirip projek Green Dam yang diperkenalkan oleh China.

Bagaimanapun seperti juga di China, Malaysia berundur daripada melaksanakannya ekoran kritikan banyak pihak.

Mengikut laporan media semalam, Anonymous mengancam untuk menggodam laman web kerajaan di bawah “Operation Malaysia” awal pagi esok.

Kumpulan itu menghantar mesej mengatakan bahawa ia akan menggodam pada pukul 3.30 pagi esok waktu Malaysia ( 7.30 petang ini, waktu GMT).

Ugutan itu dibuat dalam bentuk grafik disiarkan di lamab web http://i.imgur.com/PTFWh.png.

Mikko Hypponen, ketua pejabat penyelidikan di F-Secure Corporation, sebuah firma sekuriti perisian yang berpejabat di Helsinki, Finland menghantar mesej mengenainya menerusi Twitter kira-kira 4.42 pagi semalam (waktu Malaysia).


EmoticonEmoticon