Hari Gawai
Perayaan Gawai secara umumnya merujuk kepada perayaan disambut oleh masyarakat Iban dan Bidayuh di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi. Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Sambutan Gawai Dayak pada peringkat negeri adalah pada 1 Jun
1965.
Gawai Dayak mempunyai beberapa upacara yang dijalankan di bandar dan rumah panjang. Penyediaan pelbagai makanan dan tuan di persembahkan kepada dewa
padi untuk hasil yang baik. Penyair akan membaca mentera yang khusus untuk upacara ini dan melumur darah ayam jantan pada bahan persembahan.
Selepas upacara ini, perayaan Gawai Dayak akan bermula secara rasmi. Sebatang pokok yang dikenali sebagai 'ranyai' akan didirikan di tengah ruang dan dihiasi dengan makanan dan minuman. Mereka juga akan melawat kaum keluarga dan sahabat handai yang dikenali sebagai 'ngabang'. Pakaian tradisi akan dikenakan, dan perhiasan manik orang ulu akan dikeluarkan untuk dipakai pada hari itu. Perawan Iban pula akan mengenakan perhiasan perak tradisi. Pesta Gawai Dayak ditutup berakhir dengan penurunan pokok ranyai tersebut.
Hari Gawai juga diklasifikasikan kepada beberapa jenis seperti:
- Gawai Batu – merujuk kepada permulaan musim menanam padi
- Gawai Burung – merujuk kepada perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik
- Gawai Bersimpan – merujuk kepada kesyukuran setelah selesai menuai
- Gawai Antu – merujuk kepada perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia
Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Tuak merujuk kepada sejenis minuman beralkohol tradisi yang popular dikalangan masyarakat asli atau bumiputera. Tuak pada asasnya merupakan sejenis minuman yang terhasil dari pemeraman bahan tertentu, jenis bahan tersebut bergantung kepada suku kaum yang menghasilkannya.
Terdapat beberapa jenis tuak antaranya:
1) Tuak beras
Tuak (beras) ialah sejenis minuman masyarakat kaum Iban pada masa dahulu. Biasanya Tuak diperbuat daripada sejenis beras dipanggil "Beras Pulut". Beras tersebut akan di rendam bersama air di dalam tempayan atau dikenali sebagai "Tajau". Proses tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ia boleh diminum dan beras tersebut juga akan menjadi sejenis makanan dipanggil "Nasi Tapai". Namun pada masa kini proses pembuatan tuak berlainan sedikit iaitu selain dibuat menggunakan beras pulut, ia juga dicampur dengan gula pasir supaya rasanya manis. Biasanya Tuak akan dihidangkan pada perayaan tertentu seperti perayaan gawai dayak, gawai hantu,gawai burung dan sebagainya. Selain daripada masyarakat Iban, terdapat juga masyarakat lain seperti Bidayuh, Orang Ulu juga membuat tuak dengan cara mereka sendiri. Tuak juga boleh membawa kesan yang mudarat seperti mabuk, khayal,muntah sekiranya diminum berlebihan.
2) Tuak nipah/kelapa
Tuak (nipah/kelapa) merupakan sejenis minuman kaum asli. Biasanya tuak ini dihasilkan dari menyadap mayang kelapa/nipah. Mayang kelapa atau nipah akan sekiranya dibiarkan akan menjadi buah, akan dipotong dan air manis yang menitik dari tandan yang dipotong itu akan dikumpulkan dalam bekas, biasanya bekas buluh. Air ini dikenali sebagai air nira yang boleh diminum tanpa kandungan alkohol. Selepas itu air ini akan diperam sehingga kandungan gula di dalamnya bertukar menjadi alkohol melalui proses penapaian selama beberapa hari. Tuak kelapa/nipah ini akan diminum selepas beberapa hari.
Biasanya Tuak akan dihidangkan pada perayaan tertentu seperti majlis perkahwinan dan sebagainya. Sekiranya tuak kelapa/nipah ini dibiarkan terlalu lama, ia akan menjadi masam dan lama-kelamaan bertukar menjadi cuka secara semulajadi tanpa perlu mencampurkan bahan asing.
Seperti yang kita sedia maklum, perayaan Gawai Dayak ini disambut oleh masyarakat Sarawak iaitu daripada etnik Iban dan Bidayuh. Pesta Gawai ini diraikan secara besar-besaran semenjak dari dulu lagi sehingga sekarang. Negeri Kenyalang ini diduduki oleh rakyat yang terdiri daripada pelbagai jenis etnik, bangsa dan agama, namun penduduk hidup berlandaskan perpaduan. Ini menjadikan rakyat Sarawak hidup dalam keadaan harmoni dan berpegang kepada prinsip saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira kaum, bangsa dan agamanya. Justeru itu, sejarah asal usul kaum Dayak dihuraikan seperti di bawah untuk berkongsi pengetahuan dengan masyarakat umum.
Di Sarawak, kaum Iban merupakan etnik terbesar yang merangkumi 30 % populasi negeri ini berdasarkan kajian yang diambil pada tahun 2009. Selain itu, mereka dikategorikan secara salah sebagai etnik Dayak Laut kerana kepakaran mereka menggunakan bot, bagaimanapun, mereka sebenarnya kaum dari hulu sungai di tengah-tengah Kalimantan. Dahulu kala, mereka adalah pejuang yang sangat gagah berani dan terkenal dengan 'ngayau' atau pemburuan kepala serta aktiviti pelanunan. Secara tradisi, mereka menyembah tiga Tuhan di bawah kekuasaan Singalang Burung, Tuhan burung peperangan. Walau kebanyakan mereka kini beragama kristian, mereka masih mengamalkan amalam tradisi.
Manakala kaum Bidayuh Sarawak terkenal kerana keramahan budaya mereka, selain menjadikan kawasan pergunungan negeri ini sebagai tempat kediaman. Ada yang merupakan peladang, dan pemburu. Mereka juga terkenal kerana minuman tuak (arak beras). Dahulu, sewaktu zaman pemburuan kepala, hasil pemburuan tersebut diletakkan di dalam sebuah 'baruk'. Baruk adalah sebuah rumah bulat yang dahulu kala menjadi tempat bagi pemuda Bidayuh mengawal kampung mereka. Ia dibina tinggi, kira-kira 1. 5 meter dari tanah dan berfungsi memantau pergerakan dari pelbagai arah. Asalnya mereka mengamalkan ajaran animisme dan kini ramai yang telah memeluk agama Kristian.
2 comments
Hebat ...ada tak cerita ataupun maklumat tentang makananan taradisional orang Bidayuh Sarawak.
Ur request akan diusahakan...
EmoticonEmoticon