Tenaga Empangan Bakun mulai dijual kepada SESCO 6 Ogos ini



30 Jun 2011
KUCHING: Pemilik dan pemaju Empangan Hidroelektrik Bakun (Empangan Bakun), Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB) dijangka menjual tenaganya kepada Syarikat Sesco Berhad pada 6 Ogos ini.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II Datuk Amar Awang Tengah Ali Ha-san dalam satu kenyataan medianya semalam berkata, setakat ini, hampir kesemua ujian sistem telah siap dilakukan kecuali ujian reliabiliti.

Menurut beliau, SHSB dijangka memulakan ujian reliabiliti pada 1 Julai 2011, yang akan mengambil masa sebulan sebelum Operasi Komersial dimulakan.

“Di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPT) antara SHSB dan Sesco, penyiapan unit untuk unit pertama bagi permulaan operasi komersialnya ialah pada 6 Ogos 2011,” katanya.

Ujian serentak untuk unit pertama (Unit 8) bagi sistem grid Sesco telah dijalankan pada 9 Jun lepas.

Selepas itu, SHSB memulakan ujian sistem yang sama, sebelum Unit 8 ditutup dari 19 hingga 24 Jun untuk memudahkan kerja-kerja pembaikan sebelum menjalankan ujian reliabiliti.

Sementara itu, dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam, Awang Tengah berkata, Kerajaan Persekutuan melalui SHSB menandatangani Perjanjian Pembelian Tenaga (PPT) dengan Sesco untuk menjual elektrik dari Empangan Bakun kepada Sesco pada kadar 6.25 sen sekilowatt sejam dengan kenaikan tahunan sebanyak 1.5 peratus.









Anjing selamatkan tuan dari ditelan ular



1 Julai 2011
SIBU: Seekor anjing milik seorang penghuni rumah panjang dekat sini, berjaya menyelamatkan tuannya daripada menjadi mangsa ditelan ular sawa ketika dalam perjalanan ke kebun getah awal pagi kelmarin.

Kejadian itu berlaku semasa penghuni terbabit dari Rumah Stephen di Nanga Bawan, dekat sini dan tiga ekor anjingnya pergi ke kebun getah yang terletak kira-kira 30 minit berjalan kaki dari rumah panjang mereka.

Semasa dalam perjalanan, penghuni tersebut yang lebih dikenali sebagai Akai berjalan kaki seperti biasa manakala tiga ekor anjingnya terlebih dahulu berlari di hadapan.

Tiba-tiba, Akai terdengar suara anjingnya menyalak tidak putus-putus, membuatnya bergegas berlari menuju ke arah bunyi tersebut.

Alangkah terkejutnya, apabila Akai ternampak seekor ular sawa sedang membelit salah seekor anjingnya manakala ekor ular tersebut terjuntai di sebatang pokok durian.

Akai terus mengeluarkan parangnya dan cuba menggusik ular tersebut semasa ia sedang membelit anjingnya yang diberi nama ‘Kalan’.

Setelah beberapa kali diusik, ular tersebut terus mengeluarkan kepalanya dan ketika itu Akai menetak kepala ular tersebut sehingga ia tidak bernyawa lagi.

Anjingnya Kalan, akhirnya terlepas daripada menjadi sarapan pagi ular sawa tersebut namun ia masih hidup dan dalam keadaan lemah.

Selepas menewaskan ular sawa itu, Akai berpatah balik ke rumah untuk meminta tolong orang kampung membawa ular sawa itu pulang ke rumah panjang mereka.

Setelah disukat dan ditimbang, ular sawah tersebut panjangnya kira-kira 20 kaki dan seberat 70 kilogram.

Akai bersyukur kerana anjing yang menyelamatkan masih hidup walaupun digigit ular sawa itu di bahagian bahunya.

“Jika bukan kerana anjing saya terlebih dahulu berada di hadapan, mungkin saya akan menjadi mangsa ular sawa itu,” katanya lagi.

Perutusan Sambutan Peristiwa Israk Dan Mikraj 1432 Hijrah



PERUTUSAN Y.A.B. PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ 1432 HIJRAH
PADA 27 REJAB 1432 H BERSAMAAN 29 JUN 2011


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia,

Pertamanya, kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana di atas taufik dan inayahNya dapat kita menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj bersama umat Islam seluruh dunia. Sambutan ini sememangnya dinantikan oleh seluruh umat islam kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan dan membongkarkan keimanan serta keyakinan umat manusia tentang kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad SAW.

Israk dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab pada tahun ke- 11 selepas kenabian Rasullah SAW ini adalah dua misi perjalanan hebat sebagai anugerah kemuliaan dan mukjizat kepada Baginda Rasulullah SAW sebagai bukti kekuasaan Allah SWT sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 1 yang bermaksud :

“Maha Suci Allah yang yang memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjidil al-Haram (Makkah) ke Masjidil Al-Aqsa (Palestin) yang kami berkati sekelilingnya sebagai tanda kekuasaan kami.”

Semasa di Masjid al-Aqsa, Allah SWT telah memperlihatkan kepimpinan baginda SAW menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya yang lain, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah kepada keseluruhan manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang telah menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia.

Sesungguhnya hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjid al-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid al-Haram hingga ke hari ini. Manakala isu Palestin merupakan isu yang mesti diperjuangkan oleh umat Islam sebagai agenda penting dakwah bagi membela rakyat Palestin dari kekejaman Rejim Israel.

Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Israk dan Mikraj ini ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, Kefardhuan ibadah solat ini mesti dititikberatkan sebagai wahana membentuk keunggulan peribadi muslim dan tunggak kekuatan umat Islam. Keperibadian unggul muslim akan melahirkan semangat perpaduan yang akan menatijahkan keamanan sesebuah negara. Tanpanya, maka individu muslim akan lemah, sentiasa sukakan perpecahan dan tidak pentingkan keharmonian, malah bencikan keamanan yang ada.

Dalam konteks negara, berahmatkan peristiwa Israk dan Mikraj, maka kita juga sedang meniiti satu perjalanan yang hebat bersama-sama rakyat menuju Wawasan 2020. Kita sedang melaksanakan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi dari pelbagai bidang. Ini bagi membuktikan kemajuan dan kesungguhan kerajaan untuk membangunkan negara tercinta ini. Transformasi ini juga memerlukan keberanian dan perubahan minda secara menyeluruh dan memerlukan pencapaian yang berganda dan luar biasa.

Begitulah hebatnya hikmah dan peringatan yang boleh disingkap menerusi mukjizat Israk dan Mikraj Rasulullah SAW ini. Semoga seluruh umat Islam dapat menghayatinya dengan penuh insaf peristiwa agung ini untuk menjadikan kita sebagai umat terbaik dalam merintis perpaduan melalui kepelbagaian kaum dan agama. Mengakhiri perutusan ini, saya dan keluarga mengucapkan Salam Israk dan Mikraj kepada semua umat Islam Malaysia di mana jua berada.

Sekian Wassalam.

Lantikan Adenan cetus teka-teki pengganti Taib



2011/06/09
RANGKAI kata ‘ada tiga perkara’; ‘tok ajak jakok aku’ dan ‘ooohaa’ begitu sinonim dengan Tan Sri Adenan Satem, seorang veteran politik di Bumi Kenyalang. Pendek kata dalam hampir setiap ucapannya pada majlis rasmi, terutama sekitar 1980-an sehingga awal 2004, wajib ada istilah berkenaan diselitkan sebagai penyeri ucapan.

Biarpun wajahnya tampak serius, sikap selamba dan lucu beliau juga menyebabkan orang tidak pernah bosan mendengar ucapannya, biarpun ada kalanya beliau bersikap agak sinis terutama apabila orang yang berucap sebelum beliau, bercakap terlalu lama, panjang dan meleret-leret. Selalunya, Adenan akan memulakan ucapannya dengan ‘ada tiga perkara’ yang beliau mahu tekankan, dengan penutup kepada ucapannya ‘tok ajak jakok aku’ (dalam bahasa Iban yang bermaksud ini saja yang saya nak katakan). Sedang ‘oohaaa’ selalu digunakan sama ada pada awal atau akhir bicara beliau. Apapun istilah kegemaran Adenan itu agak jarang kendengaran apabila beliau berpindah ke Pusat dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada Mac 2004 sehinggalah beliau melepaskan jawatan itu dua tahun kemudian.

Adenan juga terkenal sebagai ‘ulat buku’ dan dikenali sebagai seorang yang sangat tajam pemikiran apabila berhujah dan berbahas, sehingga digeruni bukan saja di kalangan rakan dalam Barisan Nasional (BN), malah di kalangan pembangkang sekali pun.

Pendek kata, kalau bukan calang-calang, jangan berani nak ‘bertikam lidah’ dengan Adenan, lulusan guaman yang pernah menjadi ‘Tuan Majistret’ sebelum aktif dalam politik ini, kerana beliau amat petah dan bijak menyusun kata, selain begitu arif soal ‘undang-undang’.

Sekembalinya beliau ke Bumi Kenyalang pada 2006 selepas melepaskan jawatan dalam Kabinet Pusat, Adenan lebih fokus kepada tugas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu selama empat tahun, sehinggalah dilantik Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada 2 April 2010.


Bagi yang mengikuti perkembangan politik Sarawak, pasti tahu bahawa Adenan yang juga bekas adik ipar kepada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud itu adalah antara nama paling popular disebut-sebut bakal mengganti Abdul Taib satu ketika dulu.

Namun apabila beliau ‘bersara sementara’ dari Kabinet, nama pemimpin yang kini sudah menjangkau usia 67 tahun itu tenggelam seketika, sehingga buat seketika hanya tinggal dua nama di carta bakal Ketua Menteri Sarawak kelima – Datuk Amar Abang Johari Openg, 61, dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, 55.

Nama Adenan kembali menyertai carta bakal pengganti Ketua Menteri Sarawak apabila beliau dilantik sebagai Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Sarawak pada 2 April 2010 hingga pilihan raya negeri April lalu. Lebih mengukuhkan lagi cabaran Adenan untuk mengisi jawatan itu apabila pada 6 Jun lalu, iaitu kira-kira dua bulan selepas PRN Sarawak ke-10, Adenan dilantik menganggotai semula Kabinet Sarawak, dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas.

Menurut Adenan, beliau dimaklumkan mengenai perlantikan ke Kabinet Sarawak oleh Ketua Menteri sendiri seminggu sebelumnya dengan tugas yang akan beliau galas lebih kepada isu berkaitan tanah, selain tugas lain, berdasarkan arahan Ketua Menteri, dari semasa ke semasa.

“Tidak ada tugas tetap, namun saya berjanji akan memikul amanah ini sebaik mungkin seperti yang dimahukan oleh Ketua Menteri. Tugasan harian saya di bawah naungan Jabatan Ketua Menteri,” katanya.

Adenan yang menjadi ADUN sejak 1978, juga pernah menjadi Menteri di Sarawak sejak 1987 hingga 2004 dengan menjawat pelbagai portfolio termasuk Pembangunan Tanah, Pertanian dan Industri Makanan dan Pembangunan Sosial.

Kini semua mata tertumpu kepada 3A – Adenan, Abang Johari dan Awang Tengah, kerana semua maklum Abdul Taib sudah secara terbuka mengumumkan akan berundur pertengahan penggal ini, mungkin pada tahun depan, atau paling lewat mungkin pada 2013. Namun ramai yang menjangka Abdul Taib akan berundur sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Abang Johari juga dilihat sebagai calon popular untuk mengisi jawatan itu, dengan beliau juga dikatakan mempunyai hubungan hubungan ‘intim’ dengan pemimpin di peringkat Pusat, sedang Awang Tengah juga tidak kurang popularnya dan terkenal sebagai ‘orang kanan kepercayaan’ Abdul Taib, serta sentiasa diberi tugas penting termasuk ketika pilihan raya umum dan negeri.

Siapapun yang bakal terpilih juga mestilah memiliki populariti, iaitu diterima dan disenangi rakyat pelbagai kaum di Sarawak serta semua pemimpin parti komponen BN.

Faktor usia menyaksikan Adenan paling senior sudah menjangkau 67 tahun, berbanding Abang Johari yang kini berusia 61 tahun, sedang Awang Tengah calon paling muda baru berusia 55 tahun. Atau apakah mungkin ada calon ‘misteri’ yang akan muncul secara tiba-tiba apabila tiba masanya kelak?.

Ketika Abdul Taib sudah menjangkau usia 75 tahun, waktu untuk beliau berundur sudah pasti semakin hampir. Beliau juga tentunya tidak mahu selama-lamanya duduk di kerusi empuk itu, dengan sebelum ini beliau sudah banyak kali menyatakan hasrat mahu berundur dan memberi perhatian penuh kepada keluarga, namun di halang oleh parti dan penyokongnya.

Persaingan mengisi kerusi empuk di tingkat 22 Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, Kuching, masih lagi terbuka. Biar siapa pun bakal pengganti Abdul Taib kelak, bukan saja bakal memikul tugas dan amanah bagi meneruskan kecemerlangan kepemimpinannya ke arah menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.

Adenan Satem dilantik Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak



2011/06/06
KUCHING: Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak menjelang rombakan kabinet negeri bulan depan.

Adenan yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, berkata beliau akan bertindak di bawah bidang kuasa Pejabat Ketua Menteri dan kebanyakannya bertanggungjawab mengendalikan isu berkaitan tanah. "Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, telah memberitahu saya mengenai perkara ini dan saya berterima kasih kepada beliau kerana terus menaruh keyakinan kepada saya untuk menjadi anggota kabinetnya," kata Adenan ketika ditemui di Yayasan Sarawak di sini, hari ini. Terdahulu ahli politik berusia 67 tahun itu mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri di hadapan Yang Dipertua negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana, Petra Jaya di sini.

Susulan kenyataan Taib bahawa peralihan kuasa akan berlangsung dalam masa dua hingga tiga tahun lagi, pelantikan Adenan dijangka menyemarakkan spekulasi yang keputusan itu bagi memberi peluang kepada Adenan memainkan peranan lebih besar dalam kerajaan negeri.

Pada pilihan raya negeri Mei lalu, Taib yang meneraju Sarawak sejak 30 tahun lalu dipetik berkata, beliau sudah mengenal pasti penggantinya, iaitu anak didik yang dibimbingnya sejak 20 tahun lalu.

Ketika ditanya mengenai spekulasi itu, Adenan, bagaimanapun enggan mengulas, sebaliknya berkata, beliau akan mengadakan sidang media kemudian.
Adenan yang mempertahankan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Tanjung Datu dengan majoriti 4,218 undi menewaskan dua pencabar lain pada pilihan raya negeri lepas, berkata pelantikannya sebagai Penasihat Khas sejak 2 April 2010 juga kini mansuh.

Bekas wartawan, peguam dan majistret itu juga tidak pernah kalah di semua kerusi DUN dan parlimen yang ditandinginya sejak 1979.

Selain berpengalaman pada peringkat negeri, Adenan juga pernah menganggotai Kabinet persekutuan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar dari 2004 hingga 2006. - BERNAMA

Wardina nafi sertai perhimpunan BERSIH



28 Jun 2011 mSTAR Online
PETALING JAYA: Pengacara Wardina Safiyyah,32, amat kecewa apabila dikaitkan terlibat dengan pertubuhan politik termasuklah menyokong perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Wardina berkata, imejnya tercemar apabila terdapat blog-blog tertentu yang mendakwa dia menyokong gerakan berkenaan sehingga menjejaskan reputasinya apabila banyak pihak yang mempersoalkan perbuatannya itu.

“Saya amat kecewa. Saya tidak terlibat dengan mana-mana perhimpunan haram. Ini semua salah faham pihak-pihak tertentu,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini, Selasa.

Sehubungan itu jelas Wardina dia akan mengadakan sidang media tergempar, Rabu (esok) di Kelab Darul Ehsan, Ampang dekat sini pukul 9 pagi bagi menjelaskan pendiriannya berhubung tuduhan itu.

“Esok saya akan terangkan kepada pihak media mengenai dakwaan yang diperkatakan kepada saya,” ujarnya.

Jelas Wardina, selama ini dia banyak keluar masuk institusi pengajian tinggi tempatan untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada para pelajar agar menjadi individu yang berguna sebaliknya tindakannya itu cuba dimanipulasikan.

“Apabila orang memberi reaksi yang buruk kepada saya, saya perlu menjelaskannya. Kerana perkara ini benar-benar mencemarkan nama baik saya,” katanya.

2011/06/29 BERITA HARIAN
KUALA LUMPUR: Pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) Wardina Safiyyah menafikan tuduhan beberapa penulis laman blog bahawa beliau menyokong perhimpunan Bersih 2.0 dan akan bertanding pada pilihan raya umum nanti di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, segala tuduhan yang dilemparkan terhadapnya berkaitan gambarnya bersama beberapa pemimpin PKR, termasuk Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali adalah tidak benar dan merosakkan reputasinya sebagai artis.
“Semua dakwaan ini tidak benar, boleh tanya orang ramai yang datang pada hari itu, mereka sendiri mendengar ceremah saya dan boleh memberi pengakuan yang ceramah saya langsung tiada unsur politik,” katanya pada sidang akhbar di sini, pagi ini.
Wardina berkata, beliau tidak teragak-agak akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya artikel yang tersiar termasuk gambar lamanya yang tidak berhijab tidak dikeluarkan daripada blog berkenaan secepat mungkin.

“Ia adalah tidak benar mengatakan saya terbabit dengan parti itu. Saya ingin memberi penjelasan atas salah faham dan kekeliruan yang berlaku dalam blog itu.

“Kehadiran saya di Karnival Mesra Rakyat 26 Jun lalu sebagai jemputan untuk memberi ceramah motivasi keibubapaan. Saya tidak diberitahu penganjur bahawa Azmin akan hadir sama,” katanya.




Beliau bimbang tindakan beberapa blogger terbabit yang cuba mengaitkan cerita lama keluarganya dengan gambar beliau duduk bersama pemimpin PKR di sebuah gerai makan.
“Itulah sebabnya saya panggil sidang media tergempar ini. Mengenai gambar saya bersama pemimpin PKR, saya sedang minum di sebuah gerai berdekatan dan kebetulan beberapa pemimpin PKR lalu dan duduk bersama di meja, takkanlah saya hendak bertindak tidak sopan dengan meninggalkan mereka,” katanya.

Wardina mengakui menghadiri Karnival Mesra Rakyat di Kelana Jaya anjuran Kerajaan Selangor, namun beliau menafikan sama sekali bahawa kehadirannya adalah berunsurkan politik.

Komen Anda
Guna Facebook id anda.
Nama :
Emel :
Komen :


Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

ahmadzulkifli
SALAM, DAH BEBERAPA KALI KISAH PN WARDINA BERADA DALAM MAJLIS2 ANJURAN PEMBANGKANG YANG SAYA DENGAR, HARAPAN SAYA...BELIAU HARUS PANDAI DAN BERHATI2 MEMILIH MAJLIS, KERANA BELIAU MERUPAKAN PUBLIC FIGURE DAN MEWAKILI MAJIKANNYA DAN SEHARUSNYA BERKECUALI.
maiz
berpolitiklah secara matang jgn ikut perasaan.
owh
Buat kecoh saja pandai. Nak cari makan pun susah.
Teruk sangat sehingga terpaksa menumpang populariti artis untuk berpolitik. Teruk - teruk.
redza
Takpa, kita tahu apa pendirian Wardina melalui twitternya.
hamidah ismail
Fikirkanlah kita hidup ni tak lama. Kalau huru hara, siapa yang rugi. Kita telah bertahun-tahun boleh belajar,cari makan, cari rezeki, harta yang serba ada. Kalau kerana setitik nila ini membuat kacau, apa akan jadi dengan tadi. Nak bina semula bukan senang. Jangan terlalu taksub sesuatu yang membawa kepada pembinasaan sendiri. Bayangkan mesir, orang2 pelastine, adakah kita sanggup begitu. Aduh! bayangkan lah. Sayangkan negara kita kerana susah payah pemimpin dahulu meneraju dan memajukan negara. Kita letak diri semacam pemimpin yang berakal dan jadilah agama sebagai pegangan agar kita tidak bertindak diluar batasan. Kalau anda bertindak ikut nafsu, samakan lah diri anda dengan syaitan yang melawan tokeh (Allah swt) tidak menghormati apa yang telah ditetapkan.
Shahbani Md Akhir
Menggunakan celeberiti untuk menarik perhatian umum. Reputasi artis akan tercalar seandainya berpolitik. Bukan semua artis minat berpolitik. Cukuplah Bob Lokman seorang.
orangkecil
Jangan kerana POLITIK rakyat tertindas..
ayah mat
berjuang untuk kebenaran tidak perlukan parti
pelajar universiti
kami cintakan keamanan, kami cintakan perpaduan, kami benci demonstrasi jalanan.
duan lang
Hidupkan semangat 1 Malaysia!!!
Fadzil bin Hj Abdullah
Seorang gembala balik ke rumah dan mendapati anjing peliharaannya berlumur darah pada mulutnya. Tanpa berfikir panjang terus dibunuh anjing tersebut dengan prasangka anjing itu telah membunuh anak yang ditinggalkan dalam rumah. Apabila dia masuk ke rumah didapati anak beliau sedang tidur lena dengan disebelahnya seekor ular yang telah mati. Sedarlah gembala itu bahawa anjing tadi mempertahankan anak beliau dari dipatuk ular. Penyesalan yang tak terhingga kerana kedangkalan beliau dalam membaca suasana telah menjadikan sebagai manusia buas yang emosi melulu.

Cerita kanak-kanak yang mendidik sikap yang baik. Mendidik untuk berprasangka baik dan tidak membuat keputusan mengikut hawa nafsu semata. Walaupun cerita ini sepatutnya mewarnai budaya masyarakat. Namun kita dapati masih ada dalam masyarakat manusia yang menafsirkan sesuatu secara jahat. Maka timbullah kesangsian yang merencat pemikiran masyarakat. Bersemaraklah budaya haprak dan rendah hati budi.

Islam menganjurkan sangka baik dan menggalakan hubungan baik antara manusia. Jika setiap perjumpaan ditafsirkan porak perandalah masyarakat. Silah atau hubungan antara manusia dipupuk dengan bersandarkan kepada prinsip insaniah Islam. Dari itu akan terzahirlah manusia yang boleh memimpin peradapan dunia. Pemimpin adalah orang yang boleh menguruskan perbezaan pandangan dan pendapat dan merumuskan kebaikan dalam mencapai redha Allah.
abdul
Skrg ni opotunis politikus exploit peluang ape aje yang dapat lonjak isu untuk tingkatkan pengaruh, jadi anda hati-hatilah apabila terima jemputan. Bagus juga anda cepat buat sidang media bagi beri penjelasan, dah lehih baik jika anda panjangkan dalam laman sosial spt facebook.
Abang Aji
Akhir zaman.....manusia suka membuat fitnah.Suka memecahbelahkan dan melaga-lagakan antara satu dengan lain.Insaflah....bersatulah demi bumi Malaysia yang tercinta ini. Di mana letak hati bloger yang suka buat fitnah dan menuduh tanpa bukti ni...INGAT balasan ALLAH tanpa amaran! INSAF lah.......

Hassan Juara 'Imam Muda 2'

2 Julai 2011


Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza diumumkan sebagai juara Imam Muda Musim Kedua selepas berakhirnya program itu di Pusat Islam di sini, Jumaat malam.

KUALA LUMPUR: Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza (Hassan), 26, dinobatkan sebagai juara program pencarian Imam Muda musim kedua (IM2) selepas mengetepikan Nazrul Izwan Zolkiflee (Nazrul), 26, pada malam kemuncak yang berlangsung di Dewan Muktamar, Pusat Islam Jabatan Agama Islam Wilayah, di sini, Jumaat.

Menurut Mudir (Pengetua) Datuk Hassan Mahmood Al-Hafiz yang mengetuai penjurian dua finalis tersebut, Hassan dipilih sebagai pemenang berdasarkan prestasi yang konsisten dan sahsiah diri yang menyenangkan.


"Sebenarnya markah penilaian antara Hassan dan Nazrul tidak jauh berbeza. Cuma Hassan mempunyai kelebihan lima markah saja.

"Hassan mempunyai kelebihan pada penilaian teori yang konsisten sepanjang 10 minggu ini, selain suara yang lunak dan tidak lekang dengan senyuman," katanya.

Hassan yang terkejut dengan kemenangan itu berasa seperti bermimpi selepas dipilih sebagai juara.

"Saya bersyukur dan seronok. Rasa bagai bermimpi kerana tidak menjangkakan kejayaan ini. Ia adalah satu keajaiban dalam diri saya," katanya.



Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (tengah) beramah mesra dengan Juara Imam Muda musim kedua, Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza (kanan) selepas kemuncak Imam Muda Musim Kedua di Pusat Islam di sini, Jumaat malam.

Kemenangan tersebut melayakkan Hassan membawa pulang hadiah tajaan biasiswa penuh pengajian di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, kereta Proton Exora, pakej haji dan umrah serta wang tunai RM55 ribu.

Dia juga menerima sebuah iPad, telefon bimbit, voucer Perabot Jati bernilai RM15 ribu, komputer riba Macbook, pakej percutian ke Vietnam, kamera digital dan trofi.

Selaku naib juara, Nazrul berkata dia tidak berasa kecewa walaupun tertewas di pentas akhir.

"Saya tidak berasa kecewa kerana tidak menyangka akan mara ke final.

"Lagipun matlamat saya menyertai IM2 bukan untuk mengejar gelaran tetapi untuk berbakti pada masyarakat menerusi ilmu dan pengalaman yang diperolehi di sini," katanya.

Nazrul menerima biasiswa pengajian di universiti yang sama, kereta Proton Persona dan wang tunai sebanyak RM20 ribu.

Pemuda dari Johor ini juga menerima voucer Perabot Jati bernilai RM10 ribu, pakej umrah, komputer riba Macbook, pakej percutian ke Vietnam, kamera digital, telefon bimbit dan trofi.

Sementara itu, lapan lagi peserta yang sudah tersingkir menerima biasiswa pengajian di universiti yang sama, pakej umrah, iPad, pakej percutian, kamera digital, telefon bimbit dan trofi.

Kesemua 10 peserta IM2 turut diberikan sijil pentauliahan dan penghargaan daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Persembahan selingan pada malam itu dihiburkan oleh penyanyi Mawi dan pendakwah Akhil Hayy menerusi lagu Hambamu.

Hassan dan Nazrul mara ke pentas akhir selepas mengetepikan lapan peserta iaitu Amar, Ali, Azlan, Fadli, Fatah, Fakhrul, Mujahid dan Najdi sepanjang 10 minggu program berlangsung.

Malam kemuncak IM2 bersiaran secara langsung pada pukul 9 malam di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro HD (saluran 188).